Tuesday, April 14, 2009

Pengagihan TUPPERWARE!





Objektif pengagihan tupperware adalah untuk mengurangkan kegunaan polisterin di kawasan kolej kami dan secara tidak langsung dapat mengurangkan gangguan monyet!

semoga tupperware yang diagihkan digunakan sebaik-baiknya... tq :)

ketika perjalanan KEMPEN ALAM SEKITAR KKTAZ !






Gambar ketika penceramah memberi ceramah mengenai kelemahan plastik!

Tuesday, February 17, 2009

Peranan Pengguna Menjaga Alam sekitar




Utusan Malaysia : Peranan Pengguna Menjaga Alam Sekitar

Rencana

PENGGUNA juga berperanan menjaga dan memperbaiki kualiti alam sekitar di negara ini. Apa maknanya kenyataan itu?

Ertinya, orang perseorangan, masyarakat, institusi serta para pengusaha seharusnya bertanggungjawab dalam mengekalkan dan memperbaiki keadaan alam sekitar kita.

Pendek kata pula, ia harus dilakukan dalam semangat bekerjasama.

Manusia dan alam sekitar mesti mengelakkan kesan-kesan kemusnahan yang banyak berlaku.

Langkah awal boleh menyelamatkan negara, melebihi usaha-usaha yang harus diambil apabila keadaan sudah bertukar buruk.

Pada hari ini, kita lihat di sekeliling, kemusnahan yang dilakukan oleh manusia telah mengakibatkan terjadinya pencemaran air, udara, tanah dan hidupan di muka bumi ini.

Justeru pentingnya mengelakkan berlaku pencemaran alam sekitar, kita mesti menghalakan usaha-usaha ke arah ini dan untuk menjaga keselamatan serta memperbaiki keadaan alam sekitar kita.

Kita mempunyai hak untuk mendapatkan kedudukan hidup yang secukupnya serta keadaan alam sekitar yang mempunyai nilai.

Sumber-sumber semula jadi negara kita, termasuk air, udara, tanah, tumbuh-tumbuhan dan haiwan mesti dikawal keselamatannya.

Kesanggupan alam sekitar kita untuk menghasilkan sumber-sumber penting yang boleh diperbaharui mesti dipelihara dan jika mungkin dikekalkan dan diperbaiki.

Pencemaran alam sekitar harus diminimumkan bagi memastikan kerosakan serius atau yang tidak boleh diperbaiki, tidak terjadi ke atas hidupan atau sistem alam semula jadi.

Kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan menguruskan dengan bijak kehidupan liar dan tempat asalnya.

Keselamatan alam semula jadi termasuk hidupan liar mesti diberi perhatian dalam perancangan sosioekonomi.

Pendekatan panduan dan selaras ke arah rancangan pembangunan adalah diseru supaya diadakan.

Anak-anak pula perlu diberi pelajaran mengenai alam sekitar. Alat-alat sebaran am harus menyebarkan dengan luas penerangan-penerangan mengenai alam sekitar yang semakin buruk.

Adalah perlu menanamkan perasaan mengambil berat ke atas alam sekitar, di hati anak-anak muda juga orang-orang dewasa.

Friday, January 23, 2009

KEMPEN ALAM SEKITAR KOLEJ KEDIAMAN TUN AHMAD ZAIDI, UNIVERSITI MALAYA


Alam adalah anugerah yang dikurniakan tuhan dengan tiada nilai bandingannya. Sebagai makhluk ciptaanNya, kita harus menjaga alam sekitar daripada perkara yang mendatangkan kemusnahan alam. Penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama bukan sahaja ditujukan kepada sesetengah pihak sahaja.

Setiap individu harus mempunyai kesedaran yang tinggi tentang penjagaan alam sekitar ibarat pepatah “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Berdasarkan pepatah lama ini, kita perlu memelihara alam sekitar daripada terus tercemar atas perbuatan pihak-pihak yang tidak berwajib.

Kita perlu mempunyai kesedaran bahawa alam sekitar merupakan salah satu harta yang telah kita warisi daripada generasi ke generasi. Sehubungan dengan itu, kita juga bakal mewariskan alam sekitar kepada generasi akan datang. Kita perlu menjaganya supaya generasi selepas ini dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan nyaman. Mereka juga tidak akan menuding jari menyalah kita generasi sekarang yang tidak menjaga harta warisan turun-temurun tersebut.

Untuk itu, kesedaran tentang alam sekitar perlu dipupuk daripada kecil lagi supaya apabila dewasa kelak mereka sedar tentang kepentingan, hak, peranan serta tanggungjawab menjaga alam sekitar. Pelbagai langkah boleh diambil bagi memastikan adanya kesedaran dan nilai-nilai positif tentang kepentingan penjagaan alam sekitar ini tetapi ia turut bergantung kepada sejauhmana generasi sekarang mampu memelihara alam sekitar yang sedia ada. Kesedaran dalaman perlu dipupuk dalam diri setiap individu di samping pemantauan dari segi undang-undang. Penguatkuasaan undang-undang ini perlu diwujudkan dari segenap lapisan masyarakat seperti di rumah, sekolah, universiti, organisasi kerajaan serta swasta dan sebagainya. Kesimpulannya, kebersihan dan keindahan alam sekitar ditentukan oleh kita semua sebagai penghuni alam ini. Setiap perubahan samada positif atau negatif terletak di tangan kita sendiri kerana kitalah yang akan menentukan kejayaan setiap langkah dan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan.


OBJEKTIF

  • Memupuk kesedaran penjagaan alam sekitar dalam diri setiap mahasiswa/i Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi.
  • Memupuk kerjasama, serta perpaduan dan integrasi kaum di kalangan para penghuni kolej serta warga UM menerusi aktiviti yang dirangka sepanjang program.
  • Mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang boleh mendatangkan pencemaran seperti polisterin, botol plastik, dan lain-lain bahan yang sukar dilupuskan dan boleh mencemarkan alam sekitar di samping ianya boleh menyebabkan gangguan kesihatan dalam jangka masa panjang .